Tuesday, April 14, 2009

PELUANG BN MERAMPAS KEDAH CERAH

Date: Wed, 18 Mar 2009 02:44:15 +0000

Pokok Sena.. Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah disaran tumpukan usaha merencana kemajuan ekonomi negeri berbanding gerakerja ceramah yang berterusan mengelirukan rakyat.

Sudah setahun kerajaan pakatan rakyat memerintah Kedah, secara permukaan tampak tenang, namun apa yang boleh disaksikan, PAS, DAP dan Kerajaan PKR di Kedah hanya mampu meneruskan segala legasi yang telah dibina sebelumnya oleh kerajaan BN terdahulu. Ibarat rumah dilengkapi perabut dan kemudahan pelbagai, mereka kemudiannya hanya perlu membasuh kaki dan masuk untuk mendiami rumah berkenaan. Banyak contoh boleh diberikan, pembinaan bangunan tambahan Wisma Darul Aman, penyiapan galeri diraja, Taman Jubli Emas, dan binaan yang lainnya direncana dan disiapkan oleh BN, namun PAS dan rakan sekutunya hanya bijak merasmikannnya sahaja.

"Saya belum nampak dalam tempoh setahun ini, perancangan konkrit, agenda pembangunan dan usaha mencergaskan ekonomi negeri serta kebajikan rakyat secara holistik", ujar Sobri Sudin, Felo Unit Ekonomi dan Politik , Yayasan Sumber Maklumat yang juga merupakan penganalisis politik negeri-negeri utara. Dari data kajian dan tinjauan yang dilakukan ke atas 1,500 responden di 3 buah kawasan Parlimen, iaitu Padang Terap, Pokok Sena dan Kuala Kedah, hampir 78% responden menyatakan mereka tidak nampak apa-apa perubahan dan kemajuan yang dibawa oleh PAS khususnya dari aspek pertumbuhan dan kemajuan ekonomi.Saya boleh kemukakan satu indikator sebagai menyatakan kelemahan kerajaan Pakatan Rakyat dalam hal ini, dalam pembentangan bajet untuk 2009, unjuran KDNK langsung tidak dinyatakan, sedangkan unjuran itu amat penting bagi mengenalpasti sektor mana yang boleh menjadi penyumbang utama dan sektor ekonomi mana pula yang boleh digerakkan untuk menjadikan ekonomi negeri lebih pelbagai. Ini satu kelemahan ketara dalam mana-mana aspek pengurusan ekonomi mikro.


81% responden yang lain pula menyatakan kekesalan mereka mengundi Pakatan rakyat, kerana tanggapan mereka pentadbiran Pakatan rakyat akan lebih baik dari BN, dan peratusan yang sama juga menyatakan mereka mengundi Pakatan rakyat dalam PRU ke-12 yang lalu, kerana mahu memberi ingatan dan pengajaran kepada BN diatas kealpaan dan sikap bongkak mereka dalam pentadbiran yang lalu, bukan kerana yakin akan kemampuan Pakatan Rakyat. Atau dalam istilah pepatah Melayunya 'MARAHKAN NYAMUK KELAMBU DI BAKAR".

"Berasaskan data-data kajian yang telah saya jalankan sepanjang 2 bulan yang lalu, saya optimis BN dan UMNO Kedah mempunyai peluang cerah untuk mengambil balik Kedah dalam PRU ke-13 akan datang. Akan tetapi perlu memenuhi syarat-syarat berikut. Pertamanya, calon yang bakal diletakkan untuk kerusi DUN ataupun Parlimen, mestilah bersih dari sebarang kontroversi, dikenali ramai, telah lama menabur bakti kepada masyarakat setempat, latarbelakang pendidikan yang baik selain merupakan anak tempatan. Keduanya, gerakerja padu lagi konsisten dengan mensifarkan amalan sabotaj sesama sendiri semasa kempen pilihanraya. Ketiga, kordinasi kerja yang cekap dengan usaha membela kebajikan rakyat menjadi panduan utama selain, keupayaan mendekati, mempengaruhi dan merayu undi dari pegundi muda (umur 21-40) kerana komposisi mereka bakal mewakili 61% jumlah pengundi.

Keempat, mampu memperlihatkan dan mempraktitkan imej kepimpinan yang bersih, dilihat bersih, menjuarai isu rakyat, menjauhi salah guna kuasa, mengelak amalan kronisme dan nepotisme, selain jaminan hak dan kemajuan ekonomi serta suasana mesra perniagaan di kalangan masyarakat Cina. Kelima, memastikan asas kedhaifan hidup pengundi kaum India dapat dibaiki sebaik mungkin dengan pembukaan pelbagai peluang latihan, dan pendidikan agar kadar jenayah dikalangan kaum berkenaan dapat dikurangkan. Faktor terakhir ialah personaliti, pendekatan, keperibadian calon BN sendiri yang bukan sahaja dilihat mesra rakyat, mudah didekati, kurang protokol, malah mampu menjadi pendengar yang baik dan dapat pula menyelesaikan masalah rakyat setempat secara hands on dan menggunakan kaedah yang cukup praktikal. Jika kesemua syarat-syarat ini dapat dipenuhi UMNO dan BN Kedah akan kembali menguasai tampuk pemerintahan kerajaan Negeri, ulas Sobri Sudin mengakiri analisa kajiannya.

LANGKAH TEPAT SELAMATKAN EKONOMI

Date: Wed, 11 Mar 2009 08:11:29 +0000

Pokok Sena...pembentangan pakej rangsangan ekonomi ke-2 yang dilakukan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan dilihat langkah tepat khususnya dalam keadaan ekonomi sedunia yang kian tidak menentu. Pakej rangsangan yang memakan tempoh dua tahun pelaksanaanya iaitu untuk tahun 2009 dan 2010, dijangka mampu mencergaskan kembali sektor ekonomi negara, yang dilihat bergerak pada kadar negatif untuk unjuran suku tahun ke-2 dan ketiga tahun ini.

"Pembetulan semula(fine tune) asas ekonomi negara menerusi pakej mini bajet yang memakan biaya RM60 bilion dilihat merupakan antara langkah perlu, berani, dan membuktikan dinamisme pengurusan ekonomi negara dalam situasi ekonomi global yang kian suram" ulas Sobri Sudin, Felo Unit Ekonomi dan Politik, Yayasan Sumber Maklumat.

"Dalam konteks pakej rangsangan ke-2 ini, yang saya nampak kerajaan mulai sedar dan tidak lagi bersikap 'state of denial' berhubung impak ekonomi sedunia yang kini memberikan kesan kepada ekonomi domestik."Langkah peruntukkan yang pelbagai khususnya untuk sektor masyarakat terbanyak, misalnya peluang latihan dan pekerjaan sebanyak 63,000 tempat disektor awam membuktikan, asas pengurusan ekonomi negara berada di landasan yang benar.

Sungguhpun defisit negara akan berkembang melebihi 7% kesan pertambahan jumlah perbelanjaan sebegini, yang merangkumi 6% dari KDNK 2009, namun dalam pengurusan ekonomi yang dinamik, 'you need to spend more, in order to generate economy spilover".

'Kesemua teras strategi pakej ini selain matlamat jangka panjang yang ingin dicapai membuktikan, bahawa negara sentiasa mengambil langkah-langkah yang perlu mengikut acuan negara sendiri dan pastinya pada akhirnya kejayaan akan diperolehi."Ini memandangkan kecekapan pengurusan, dasar fiskal yang rencam, daya tabungan negara yang tinggi, fundamental ekonomi mikro yang masih sustainable selain elemen kestabilan politik sendiri bakal menjadi penentu kepada kemajuan ekonomi sebenar negara.

"Hakikatnya, krisis ekonomi yang melanda tahun 87, 1997 dan kini 2009 adalah satu ulangan, atas prinsip negara merupakan negara perdagangan , maka sebarang turun naik dalam permintaan barangan eksport akan meberi kesan kepada ekonomi negara, termasuk akan menyebabkan 'contingeous effect' dalam bentuk 'pembuangan pekerja' dan penutupan operasi industri pembuatan, yang kini kesannya bakal menyaksikan 45,000 tenaga kerja akan hilang pekerjaan hingga hujung tahun ini.

Justeru itu, langkah mewujudkan lebih 163,000 peluang latihan dan pekerjaan kepada golongan yangd iberhentikan ini selain peluang pekerjaan untuk golongan penuntut di IPTA, mampu merendahkan kadar penganguran,sekaligus meminimakan kesan penyakit sosial". Peningkatan jenayah juga dapat dikurangkan, kerana wujud korelasi antara peningkatan jenayah indeks mahupun jenayah kecil yang lain dengan pertumbuhan dan kelembapan ekonomi negara. Jika ekonomi segar bugar, peluang menambah pendapatan pelbagai, maka kegiatan jenayah akan berkurang, sebaliknya bila ekonomi suram, peluang pekerjaan terhad dan ramai yang terlibat dengan pemberhentian maka gejala jenayah akan sekaligus meningkat. Apabila jenayah berleluasa kesan dan kos sosialnya terpaksa ditanggung oleh kerajaan dan masyarakat" ujar Sobri Sudin lagi.

"Apa yang paling menarik perhatian saya berhubung pakej rangsangan ke-2 ini, ialah dana tambahan sebanyak R674 juta untuk subsidi bahan makanan asas seperti gula, roti dan tepung gandum. Ini bakal menguntungkan sebahagian besar rakyat bawahan khususnya bagi mereka yang masih hidup di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan(PGK). Demikian, juga kesediaan kerajaan menanggung pampasan melebihi RM500 juta untuk memastikan agar kadar tol dilebuhraya tidak dinaikkan".

"Paling penting bagi saya ialah keupayaan agensi pelaksana bagi memastikan tidak wujudnya kelambatan, kebocoran dan ketirisan dalam soal pelaksanaan pakej rangsangan kedua ini. Pakej rangsangan pertama yang baru 70% pelaksanaanya wajar diselesaikan segera, agar pakej ke-2 ini mampu mengambil tempat."Pakej rangsangan ke-2 ini juga harus dilihat sebagai satu tuntutan atau matlamat yang wajib dijayakan secara sepakat baik dipihak kerajaan mahupun pembangkang, kerana semenjak PRU k-12, Mac 2008 yang lalu, negara tidak habis-habis dilanda kemelut politik, persaingan kuasa, yang menyebabkan rakyat kian bosan dan mual, walhal isu sebenar yang perlu difokus adalah kesan ekonomi global dan bagaimana kaedah berkesan menanganinya.

"Harapan saya , kerajaan di bawah Pakatan Rakyat seperti Kedah, Pulau Pinang dan Selangor akan turut menjayakan pakej rangsangan ini, dengan menokok tambah mana yang patut , mencergaskan ekonomi negeri masing-masing dan tidak terlalu sibuk dengan retorik politik dan sandiwara politik yang melampau", isu sebenar yang menjadi tumpuan dan berkehendakkan komitmen semua pihak ialah pengurusan ekonomi yang betul selain kreativiti untuk diversified punca pendapatan negeri dan rakyat. "Lantas, tiba masanya, pakar-pakar pengurusan ekonomi diperingkat negeri untuk menunjukkan penglibatan dalam merencana kemajuan ekonomi negeri masing-masing, kerana Kerajaan Persekutuan telah memperbuat apa yang sepatutnya dibuat, justeru Kerajaan Pakatan Rakyat diseru lebih prihatin, komited dan bertanggungjawab untuk sama-sama mewujdukan persekitaran ekonomi kondusif demi kesejahteraan seluruh rakyat" akhiri Sobri Sudin.

MARI MENUJU KEHADAPAN

Date: Fri, 3 Apr 2009 04:25:35 +0000

Tidak ada saat paling mengharukan apabila melihat kebesaran jiwa tiga tokoh negarawan kembali duduk semeja, demi kepentingan negara. Sikap berhemah Tun Abdullah, melakukan apa yang dijanjikan, kembalinya Tun Mahathir kepangkuan UMNO, dan tanggal 3 April sahnya acara angkat sumpah Dato' Seri Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6, sungguhpun pelbagai spekulasi jahat timbul tentang apakah akan berlakunya realiti tersebut, kini semuanya terpampang, terpahat dalam rakaman sejarah dan dicatit sebagai antara peristiwa penting bagi tahun 2009.

Isunya, iltizam perubahan sudah dinyatakan, UMNO tonggak kerajaan, sudah mulai sedar dengan saf kepimpinan baru yang diyakini, penuh integriti dan mampu pula membawa cabaran negara ke peringkat lebih tinggi. Naiknya Najib sebagai perdana Menteri difahami mampu melakar banyak pembaharuan yang sudah sekian lama rakyat impikan. Darah keturunan aristokrat, sifat taat setia mengikut jejak langkah ayahandanya, Tun Abdul Razak yang berkorban jiwa raga, meredah hutan, paya, kampung dan desa, kini ditakdirkan Allah s.w.t, diikuti dan bakal dilestarikan oleh anakandanya, Najib Tun abdul Razak.

Hakikatnya janji Allah itu benar, ketentuan allah itu benar, dan kekuasaan Allah itu juga benar. Allah berhak mengurniakan kerajaan kepada sesiapa sahaja yang beliau kehendaki, berkuasa pula mengambil balik dari sesiapa yang dikehendaki dan mampu memberi kemuliaan dan kehinaan kepada sesiapa jua yang beliau kehendaki. Manusia yang percayakan takdir Allah, ketentuannya, akan berasa lapang dada dan tenteram jiwa nuraninya.

Namun bagi manusia yang diselebungi perasaan hasad, dengki dan agenda politik tersembunyi, maka 3 April 2009 adalah manifestasi bagi segala-galanya. Tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan ke atas Najib tidak pernah beliau endahkan, taat setianya kepada Tun Abdullah selama menjadi Timbalan perdana Menteri tidak pernah dipersiakan. Meskipun ramai yang menggelarkannya 'pengecut' tetapi inilah kebesaran sifat manusia luar biasa. Najib tetap berhemah, bersabar dan istiqamah dalam menantikan detik beliau mendaki kuasa. Apa yang penting, khidmat berterusan, 'biar orang mengata dia kerana kerajinan beliau bekerja' dari orang mengata beliau kerana tidak berbuat apa-apa.

Bukan sedikit transformasi dilakukan, dari pelbagai kementerian, belia, pendidikan, pertahanan, kewangan, inovasi, daya kreativiti beliau terserlah. Paling hakiki usaha menjaga kebajikan anggota dan kakitangan kementerian. Perumahan, peluang kenaikan pangkat, skim yang lebih menarik dirangka agar legasi kepimpinannya terus subur, segar bugar. Di dalam parti sekian banyak tugasan diberikan, berada disisi Presiden parti dimasa susah dan senang, tidak pernah ada komplot atau konspirasi sungguhpun PRU ke-12, UMNO dan BN mengalami pukulan paling teruk dalam sejarah pencapaiannya.

Najib seperti biasa dengan langkah segak, shape yang segar sebagai pemimpin, tutur katanya, yang punyai substance membayangkan 'intelectual capacity' yang tinggi, kerajinan mentelaah dan bermuhasabah dengan buku menjadi teman. Menjadi pendengar yang hebat, boleh merumuskan sesuatu perkara hanya dengan sepatah ayat, tenang, tidak goyah, ilmu dan pengalamannya teruji.

Diharapkan barisan saf kepimpinan yang bakal membantu beliau juga punyai nilai diri yang tinggi, berinovasi, tinggi produktiviti dan kukuh daya integriti. Saf kepimpinan Najib nanti tidak perlukan perasuah, atau kaki ampu, yang hanya boleh mencalarkan iemj parti dan kerajaan yang kini kian jernih. Saf kepimpinan Najib haruslah orang berilmu, peka bukannya 'pekak', cerdas, tajam akal fikiran , 'problem solver' bukannya 'problem maker'. Saf kepimpinan Najib juga haruslah bersih, dilihat bersih, berfikir sebelum bercakap, bukan bercakap sehingga terkeluar dari akal yang rasional.

Dari sudut kepartian pula, tugas Najib harus dibantu oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, khususnya di negeri yang kalah seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan kelantan dengan penuh komited. Pengerusi Perhubungan bukan sahaja perlu taat pada segala arahan Najib yang sentiasa mahukan kebenaran dan sentiasa berpaksi kepada tuntutan rakyat, tetapi diri dan imej Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri sendiri haruslah mesra rakyat, tahu buat kerja, melapor perlara yang benar, mampu memasyarakatkan UMNO, bukan terus angkuh, lagak seolah-olah mereka masih lagi teraju kerajaan Negeri. Banyak program, pendekatan perlu disusun, seperti kata Tun Abdullah dalam ucapan terakhirnya sebagai Presiden UMNO, 'orang banyak bercakap tentang perlunya UMNO berubah", tetapi pernahkah pemimpin UMNO bertanya diri sendiri, bilakah aku akan berubah"?.

Ini disambut oleh Najib, jika UMNO tidak berubah pasti nanti akan rebah, dan bagi penulis jika rebah, UMNO takkan mampu bangkit kembali, sebab sudah 50 tahun rakyat nikmati kepimpinan UMNO yang serba-serbi, dan sudah tahu mana yang palsu mana yang hakiki, dan rakyat tidak perlu terus dibohongi. Mereka bukannya membenci UMNO, tetapi meluat dengan gelagat segelintir ahli dan pemimpinya yang menjadi 'duri dalam daging' dan gunting dalam lipatan.Proses kian dekat dan kini tibalah UMNO untuk kembali pada landasan yang asli. Najib pasti tidak menunggu lama, kerana melihat riak wajahnya, azam mahu merubah terpancar dengan semangat yang menyala. Ramuan lama dengan pendekatan baru yang lebih diyakini, pengundi muda dan juga profesional sesekali diabai jangan.

Penulis percaya, angin perubahan, dan semangat baru bakal terjelma. Saf kepimpinan kini sudah tersedia, dayung sudah ditangan NAJIB sebagai perdana Menteri ke-6, kayuhannya isnya Allah akan mampu membawa rakyat sampai ke destinasi, Bukans sekadar dstinasi 2020, tetapi 'Malaysiaku Nan Satu' yang kekal harmoni. Yang kurang semangat rasisnya, yang ekonominya kembali melonjak, yang kadar jenayahnya pada tahap redah, biar rakyat merasa selamat. Inovasi Najib bakal menjadikan perkhidmatan awam lebih berdaya maju, kreatif dan tidak lagi 'mandom' atau terikat dengan karena birokrasi yang melampau.

Penulis percaya kerajaan pimpinan Najib adalah 'people friendly', 'business oriented', down to the earth, fahami dan selami aspirasi rakyat. Sebab itu disarankan Timbalan Beliau nanti juga diamanahkan menjaga portfolio Kementerian Kemajuan Luar Bandar ,namun nama Kementerian disaran ditukar kepada Kementerian Kemajuan Komuniti. Jangan ada lagi segmentasi 'bandar' dan 'luar bandar'. Barulah namanya inovasi bernilai tinggi.

Pendidikan, latihan sumber manusia, ekonomi berprestasi tinggi, kembalinya Malaysia dalam menjuarai isu-isu antarabangsa, pasti akan menjadi antara pencapaian dan langkahan pendekar Bugis yang tersohor ini. Apa yang penting dokongan rakyat, sokongan masyarakat seluruhnya tanpa mengira ideologi, bangsa mahupun agama. Jangan dipertikai, diperlekeh rezeki Najib yang pada hari Jumaaat yang mulia diangkat Allah sebagai khalifah di bumi Malaysia. Berpakatlah sesama kita, mari menuju kehadapan, masih banyak cabaran, gugatan dari dalam mahupun luar yang sentiasa mengintai peluang untuk menggoyah kredibiliti Najib. Kepada yang masih mengidam untuk menjadi Perdana Menteri, terimalah kenyataan, bahawa di Loh Mahfuz telah tertulis bahawa teori RAHMAN kini dilengkapi sudah. Istigfar banyak-banyak, redha dengan ketentuan Allah, insya-Allah kita akan menjadi manusia yang lebih tenang dan tinggi sifat keinsanannya.

Dari Pekan ke Kota Bharu
Singgah berehat memancing ikan
Terzahir sudah PM yang baru
Kini tugas menanti di depan..

Selamat bertugas YAB Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ke-6

FAHAMI ASPIRASI PENGUNDI BARU

Subject: FAHAMI ASPIRASI PENGUNDI BARU
Date: Tue, 14 Apr 2009 06:20:20 +0000

Hakikat kemenangan parti politik dalam PRU atau PRK ialah sokongan pengundi. Pengundi dalam era kontemporari punyai pelbagai citarasa, pengharapan dan aspirasi. Mereka bukan lagi pengundi era 3 dekad lalu, kini pengundi baru, saluran 3 dan 4 punyai kelebihan berdasarkan empat aspek :
a) Maklumat alternatif yang pelbagai
b) Kebijaksanaan hasil proses pendidikan dan indoktrinasi sosial
c) Pengaruh persekitaran
d) Pengalaman dan pemerhatian

Justeru itulah mana-mana parti politik harus berupaya mengungkapkan metodologi, kaedah dan pendekatan terbaru. Prinsip penting 'jangan memandang rendah pada tahap intelektualisme pengundi' dan mendekati mereka secara bermusim.
Harus diakui kebanyakkan siri PRU dan PRK yang lebih dipentingkan oleh parti yang bertanding adalah program, aktiviti, misalnya majlis ceramah, jamuan keramaian,penyampaian bantuan, walhal yang hadir lebih 2/3 hanyalah petugas parti berkenaan, penyokong parti dari luar bukan pun pengundi setempat. Fenomena inilah yang menjadi salah satu punca tewasnya calon BN dengan teruk di saluran 3 dan 4 semasa Pilihanraya Kecil DUN Bukit Selambau dan Parlimen Bukit Gantang pada 7 April lalu.

Natijahnya jadilah program dan kempen yang dijalankan ibarat syok sendiri, sasaran tidak mengena, kerana pengundi setempat yang hadir hanyalah dalam kuantiti yang kecil. Ini merugikan wang, masa dan melibatkan percaturan yang salah strategi. Justeru itulah gagasan Mencari, Mengenali, Mendekati, Mendaftar dan Merayu Pengundi harus dijayakans ecara konsisten.

Dalam konteks UMNO dan Komponen BN peranan ini wajar disegerakan oleh barisan Pemudanya. Bentuklah Pasukan Muhibbah BN, agar lepasan IPTA, IPTS, PLKN, ILP dan kesemua Institut Latihan Perindustrian dan Kemahiran dapat kita tanggapi dan selami perasaan mereka. Dekati mereka secara santai, cuba bebaskan mereka melalui pendekatan tanpa banyak protokol dan soal elitis untuk membuka peluang dan tempat bagi mereka meraih pekerjaan supaya mobiliti sosial diri dan keluarga mampu dianjak ke tahap yang lebih baik.

Segarkan budaya percambahan ilmu bersama golongan ini, jangan terlalu ditekankan soal kepartian sebaliknya ajak golongan ini agar punyai rasa bangga, sikap taddabur, penghayatan, beri mereka makna bahawa kejayaan yang mereka miliki kini atau hari ini adalah hasil sentuhan dan susah payah perjuangan kepimpinan terdahulu.

Jangan banyak retorik atau majlis formal, segerakan usaha ini, barisan pemuda jangan lagi khayal dengan jawatan Exco, dari Ketua Pemuda Malaysia, baik UMNO, MCA, MIC dan Gerakan, jayakan prinsip 'ONE MALAYSIA' dengan bangunkan jiwa pemuda dan golongan generasi baru ini dengan kursus, latihan kepimpinan, aktiviti jayadiri dan buka peluang seluasnya untuk mereka menzahirkan kerangka percambahan idea yang bernas. Jika berbeza pendapat jangan tanggapi mereka sebagai penentang sebaliknya terima sebagai satu hikmah, jika mereka liar dengan aktiviti rempit atau masalah penyimpangan sosial, jinak dan lunakkan hati mereka dengan seruan hikmah, iman dan pengisian rohani.

Kita bimbing golongan ini, beri mereka santapan dan pengisian isu bina negara, sematkan ptariotisme yang hakiki, betulkan aqidah mereka agar mereka menjadi generasi danb benteng negara yang luhur, jujur dan berbudi pekerti. Kita pecahkan tembok pemisah, faham perkauman, atau sentimen kedaerahan, jadi dan bentuk mereka sebagai satu warga Malaysia yang berpaksikan 'unity in diversity'. Kepelbagaian agama diharmonikan dengan mencungkilo nilai-nilai universal secara bersama, kelainan budaya dimanfaatkan agar akan ada lebih perasaan apresiasi antara satu dengan yang lain.

Be one of them not against them, fahami minat dan bakat mereka, pupuk dan kembangkan apa jua potensi yang ada, biar Malaysia boleh berbangga dengan satu kelompok generasi muda yang 'genuine', punyai akar budaya tempatan, berfikiran global, punyai sense dan harga diri yang tinggi, mampu memartabat maruah keluarga, diri sendiri dan negara.

Pergerakan Pemuda semua komponen, ayuh hayun langkah yang betul, jadilah ikon yang dihormtai, role model, agar generasi dan komuniti muda yang lainnya boleh hormatkan diri anda, kerana mereka adalah wajah masa depan 'ONE MALAYSIA'., pewaris kepimpinan bermaruah, pelapis teknokrat dan arkitek pembangunan negara, jadilah pemimpin pemuda yang berkahlak, merendah diri, tinggi sahsiah diri, beradab dan berbudaya klas pertama. Bukannya pemimpin pemuda yang berlagak sombong tak tahu dek untung. Selami dan dekatilah generasi muda kini secara ikhlas, jujur dan berhemah, kerana merekalah bakal mewakili lebih separuh jumlah pengundi yang ada dalam PRU ke-13 nanti, justeru masa depan negara, penentuannya terletak ditangan mereka.

MELEPASI HALANGAN KE-5

Subject: MELEPASI HALANGAN KE-5 Date: Mon, 13 Apr 2009 05:47:09 +0000

Halangan pertama dalam bentuk pemilihan MKT dan Perhimpunan Agong UMNO 2009 telah pun berjaya dituntaskan. Muka baru yang terpilih diharap mampu menjernihkan kembali imej UMNO selaras dengan usaha mentransformasikan parti ini menjadi medium bagi seluruh rakyat Malaysia untuk mencapai citra dan aspirasi sebagai satu bangsa.

Kekangan kedua, juga telah diatasi dengan baik, cekap dan berhemah, transisi kepimpinan negara yang mebgikut adat, tradisi, dilakukan penuh berhemah, bukan melalui pintu belakang ataupun revolusi jalanan,.Inilah uniknya Malaysia. Halangan atau 'hurdles ke-3' juga diatasi dengan penuh komited, sungguhpun tewas di Bukit Gantang dan Bukit Selambau dalam PRK, namun kemenangan di BATANG AI, membuktikan BN masih kekal signifikan. Apa yang penting, apa jua masalah berulang, penyebab yang memungkinkan kekalahan UMNO dan BN di dua bukit dikaji, diinsafi dan dipastikan mampu menjadi pencetus untuk lebih bersedia dengan segala kekuatan di masa akan datang.

Sentimen pengundi, kedegilan pengundi bukan Melayu untuk mengundi BN wajar djadikan teladan, apakah lagi yang mereka mahu?, apa lagi yang terbuku dihati?, jika dipenuhi kesemua kehendak mereka, bagaimana pula nasib pengundi Melayu yang terkenal sebagai pengundi setia dan pekerja parti yang penuh komited sehingga sentiasa di barisan hadapan meskipun yang bertanding adalah calon dari komponen BN. Tampak dalam sudut ini petugas UMNO lebih global sifatnya dan terbuka kedewasaanya dan matang dalam tindakannya. Mereka benar-benar mengamlkan prinsip 'tanggungjawab bersama'. Ini wajar diteladani dan diinsafi oleh komponen BN, bukan hanya tahu meminta dan melakukan 'political blackmail' sedangkan prestasi tidak seberapa.

Halangan ke-4, Barisan Kabinet Rakyat juga telah siapsaga menjalankan amanah, dalam minggu ini akan tampaklah pelbagai usaha, pendekatan, dasar dan program pelbagai Kementerian, agar kualuti, KPI mereka mampu ditingkatkan biar, imej KABINET RAKYAT tidak dikata nanti 'INDAH KHBAR DARI RUPA". Asas, amanah telah disediakan oleh Dato' Seri Najib, Kabinet sedia ada sepatutnya mengukuh dan mengwibawakan lagi integriti kepimpinannya serta memudahkan visi dan wawasan ONE MALAYSIA, bukannya menjadi liabiliti yang boleh memudaratkan kesungguhan transformasi yang bakal diperkasakannya.

Kini , halangan ke-5 sedia menunggu adalah rombakan besar-besaran bagi jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri. Prioriti wajar didahulukan di negeri yang kalah seperti Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah. Jika jemaah Menteri cekap, berkesan, mampu penuhi KPI, namun kepimpinan parti di peringkat Negeri longgar maka kita khuatir PRU ke-13, yang seharusnya menjadi tanda aras penerimaan kepimpinan Najib akan menjadi satu lagi titik yang menyedihkan. Justeru itulah, penulis ingin menyarankan, agar kesemua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang kalah teruk dalam PRU ke-12 lalu, yang dilantik oleh Presiden UMNO sebelumnya dengan rela hati dan secara 'gentleman' meletakkan jawatan. Biar Najib punyai kebebasan untuk memilih calon lebih berwibawa, inovatif, kreatif, berintegriti, selain ada gagasan baru bersandarkan metodologi terkini untuk kembali meyakinkan masyarakat pengundi.

Pada hemat penulis Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri harus punyai lima kriteria berikut :

a) Berhemah, mesra rakyat, kenal diri, 'in command', mampu to inspire seluruh ahli peringkat Bahagiand an Cawangan.

b) Bersedia dengan plan induk praktikal yang boleh dilaksanakan bila-bila masa, sebagai strategi konsiten untuk menawan kembali negeri-negeri yang kalah.

c) Berwawasan, kreatif, punyai kemahuan tinggi, kuat bekerja, tahun sosio-politik negeri beliau secara mendalam, fahamai aspirasi dan kehendak pengundi selain citra dan citarasa pengundi muda.

d) Alert dan mampu memanfaatkan teknologi ICT, mampu terbuka dalam perbincangan, dan sanggup menerima idea-idea bersifat inovasi dariu kawan ataupun musuh demi memajukan parti.

e) Popular dan dikenali dikalangan ahli, pimpinan UMNO, pengundi dan rakyat biasa, selain ada karisma tersendiri untuk menambat hati masyarakat Melayu dan bukan Melayu.

Dalam konteks inilah diharap Dato' Seri Najib mampu membuang sentimen membalas budi, atau terkenangkan kawan rakan , mahupun teman seperjuangan dalam soal lantikan ini. sepertimana yang telah dibuktikan dalam konteks lantikan jemaah Menteri, kewibawaan Najib juga biarlah terjelma dalam soal lantikan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri yang baru ini. Ini ,memandangkan bukan soal jawatan itu yang penting tetapi kemampuan pemegang jawatan untuk bergerak seiring bukan sahaja dengan aspirasi transformasi Najib, malah mampu mengubah persepsi rakyat dan masyarakat Melayu khususnya yang selama ini melihat UMNO dengan imej yang kurang jernih.

Biar dengan sentuhan Pengerusi Perhubungan UMNO yang baru, kerja Najib dalam soal meninggikan imej dan integriti UMNO menjadi lebih ringan, sepakat membawa berkat, pimpinan UMNO Negeri yang baru yang jauh dari skandal, kontroversi, berjiwa Melayu dan Malaysia, tidak sombong, kurang protokol, mudah didekati, agenda dan misinya mahu memenangkan UMNO dan BN dalam PRU ke- 13 nanti tanpa terlalu memikirkan bahawa jika menang dialah yang layak menjadi MB atau bakal Ketua Menteri.

Pengerusi Perhubungan Negeri, yang mampu dibantu oleh tenaga pakar dan penasihat yang baik untuk melihat sikap pengundi muda, mengkaji profail dan sikap mereka secara konsisten, merangka plan dan program induk diperingkat negeri secara tersusun, bukan bermusim, yang ada 'substance' kerjanya, biar apa jua aktiviti, gerakerja ataupun program yang disusun impak, kesan dan penghayatannya menjalar hingga ke akar umbi. Bukan seperti sebelum ini, melapor hanya yang indah-indah dan yang baik-baik sahaja demi menyedapkan hati Presiden parti,
aqidah bercakap bohong wajar dan wajib dibuang jauh-jauh dari menjadi sifat hakiki sesiap sahaja yang dilantik menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO mana-mana negeri. Insafi dan ikuti sifat Rasul, Sidiq, Amanah, Tablig dan Fatonah. Baru akan turun karamah dan barakah kepada parti UMNO, pelindung umat Melayu dan pembela agama Islam.

Ingatlah Najib bukan mudah dibohongi, beliau pemimpin yang kritis, melakukan 'double-check, sentiasa ada follow up, banyak mentelaah, dan banyak berfikir selain menggunakan pandangan kedua dan ketiga untuk mengesahkan sesuatu perkara.

Jika kriteria dan ciri Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri yang baru memiliki gabungan kekuatan semua ini, penulis percaya, ianya bakal menjadi khabar duka buat pakatan pembangkang, kerana dengan iltizam, kesungguhan perancangan dan tindakan tersusun, UMNO di Negeri-Negeri yang kalah bakal mengegar dan menghadiahkan kemenangan buat kepimpinan Dato' Seri Najib agar transformasi menyeluruh demi keutuhan, kestabilan politik, kemakmuran ekonomi MALASYIAKU NAN SATU dapat dizahirkan, bukan seperti sebelumnya, di mana terlalu banyak pergolakan, konflik dan kontroversi politik yang berpanjangan sehingga menjemukan rakyat dan boleh merosakkan tamadun kehidupan.