Tuesday, April 14, 2009

MARI MENUJU KEHADAPAN

Date: Fri, 3 Apr 2009 04:25:35 +0000

Tidak ada saat paling mengharukan apabila melihat kebesaran jiwa tiga tokoh negarawan kembali duduk semeja, demi kepentingan negara. Sikap berhemah Tun Abdullah, melakukan apa yang dijanjikan, kembalinya Tun Mahathir kepangkuan UMNO, dan tanggal 3 April sahnya acara angkat sumpah Dato' Seri Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6, sungguhpun pelbagai spekulasi jahat timbul tentang apakah akan berlakunya realiti tersebut, kini semuanya terpampang, terpahat dalam rakaman sejarah dan dicatit sebagai antara peristiwa penting bagi tahun 2009.

Isunya, iltizam perubahan sudah dinyatakan, UMNO tonggak kerajaan, sudah mulai sedar dengan saf kepimpinan baru yang diyakini, penuh integriti dan mampu pula membawa cabaran negara ke peringkat lebih tinggi. Naiknya Najib sebagai perdana Menteri difahami mampu melakar banyak pembaharuan yang sudah sekian lama rakyat impikan. Darah keturunan aristokrat, sifat taat setia mengikut jejak langkah ayahandanya, Tun Abdul Razak yang berkorban jiwa raga, meredah hutan, paya, kampung dan desa, kini ditakdirkan Allah s.w.t, diikuti dan bakal dilestarikan oleh anakandanya, Najib Tun abdul Razak.

Hakikatnya janji Allah itu benar, ketentuan allah itu benar, dan kekuasaan Allah itu juga benar. Allah berhak mengurniakan kerajaan kepada sesiapa sahaja yang beliau kehendaki, berkuasa pula mengambil balik dari sesiapa yang dikehendaki dan mampu memberi kemuliaan dan kehinaan kepada sesiapa jua yang beliau kehendaki. Manusia yang percayakan takdir Allah, ketentuannya, akan berasa lapang dada dan tenteram jiwa nuraninya.

Namun bagi manusia yang diselebungi perasaan hasad, dengki dan agenda politik tersembunyi, maka 3 April 2009 adalah manifestasi bagi segala-galanya. Tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan ke atas Najib tidak pernah beliau endahkan, taat setianya kepada Tun Abdullah selama menjadi Timbalan perdana Menteri tidak pernah dipersiakan. Meskipun ramai yang menggelarkannya 'pengecut' tetapi inilah kebesaran sifat manusia luar biasa. Najib tetap berhemah, bersabar dan istiqamah dalam menantikan detik beliau mendaki kuasa. Apa yang penting, khidmat berterusan, 'biar orang mengata dia kerana kerajinan beliau bekerja' dari orang mengata beliau kerana tidak berbuat apa-apa.

Bukan sedikit transformasi dilakukan, dari pelbagai kementerian, belia, pendidikan, pertahanan, kewangan, inovasi, daya kreativiti beliau terserlah. Paling hakiki usaha menjaga kebajikan anggota dan kakitangan kementerian. Perumahan, peluang kenaikan pangkat, skim yang lebih menarik dirangka agar legasi kepimpinannya terus subur, segar bugar. Di dalam parti sekian banyak tugasan diberikan, berada disisi Presiden parti dimasa susah dan senang, tidak pernah ada komplot atau konspirasi sungguhpun PRU ke-12, UMNO dan BN mengalami pukulan paling teruk dalam sejarah pencapaiannya.

Najib seperti biasa dengan langkah segak, shape yang segar sebagai pemimpin, tutur katanya, yang punyai substance membayangkan 'intelectual capacity' yang tinggi, kerajinan mentelaah dan bermuhasabah dengan buku menjadi teman. Menjadi pendengar yang hebat, boleh merumuskan sesuatu perkara hanya dengan sepatah ayat, tenang, tidak goyah, ilmu dan pengalamannya teruji.

Diharapkan barisan saf kepimpinan yang bakal membantu beliau juga punyai nilai diri yang tinggi, berinovasi, tinggi produktiviti dan kukuh daya integriti. Saf kepimpinan Najib nanti tidak perlukan perasuah, atau kaki ampu, yang hanya boleh mencalarkan iemj parti dan kerajaan yang kini kian jernih. Saf kepimpinan Najib haruslah orang berilmu, peka bukannya 'pekak', cerdas, tajam akal fikiran , 'problem solver' bukannya 'problem maker'. Saf kepimpinan Najib juga haruslah bersih, dilihat bersih, berfikir sebelum bercakap, bukan bercakap sehingga terkeluar dari akal yang rasional.

Dari sudut kepartian pula, tugas Najib harus dibantu oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, khususnya di negeri yang kalah seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan kelantan dengan penuh komited. Pengerusi Perhubungan bukan sahaja perlu taat pada segala arahan Najib yang sentiasa mahukan kebenaran dan sentiasa berpaksi kepada tuntutan rakyat, tetapi diri dan imej Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri sendiri haruslah mesra rakyat, tahu buat kerja, melapor perlara yang benar, mampu memasyarakatkan UMNO, bukan terus angkuh, lagak seolah-olah mereka masih lagi teraju kerajaan Negeri. Banyak program, pendekatan perlu disusun, seperti kata Tun Abdullah dalam ucapan terakhirnya sebagai Presiden UMNO, 'orang banyak bercakap tentang perlunya UMNO berubah", tetapi pernahkah pemimpin UMNO bertanya diri sendiri, bilakah aku akan berubah"?.

Ini disambut oleh Najib, jika UMNO tidak berubah pasti nanti akan rebah, dan bagi penulis jika rebah, UMNO takkan mampu bangkit kembali, sebab sudah 50 tahun rakyat nikmati kepimpinan UMNO yang serba-serbi, dan sudah tahu mana yang palsu mana yang hakiki, dan rakyat tidak perlu terus dibohongi. Mereka bukannya membenci UMNO, tetapi meluat dengan gelagat segelintir ahli dan pemimpinya yang menjadi 'duri dalam daging' dan gunting dalam lipatan.Proses kian dekat dan kini tibalah UMNO untuk kembali pada landasan yang asli. Najib pasti tidak menunggu lama, kerana melihat riak wajahnya, azam mahu merubah terpancar dengan semangat yang menyala. Ramuan lama dengan pendekatan baru yang lebih diyakini, pengundi muda dan juga profesional sesekali diabai jangan.

Penulis percaya, angin perubahan, dan semangat baru bakal terjelma. Saf kepimpinan kini sudah tersedia, dayung sudah ditangan NAJIB sebagai perdana Menteri ke-6, kayuhannya isnya Allah akan mampu membawa rakyat sampai ke destinasi, Bukans sekadar dstinasi 2020, tetapi 'Malaysiaku Nan Satu' yang kekal harmoni. Yang kurang semangat rasisnya, yang ekonominya kembali melonjak, yang kadar jenayahnya pada tahap redah, biar rakyat merasa selamat. Inovasi Najib bakal menjadikan perkhidmatan awam lebih berdaya maju, kreatif dan tidak lagi 'mandom' atau terikat dengan karena birokrasi yang melampau.

Penulis percaya kerajaan pimpinan Najib adalah 'people friendly', 'business oriented', down to the earth, fahami dan selami aspirasi rakyat. Sebab itu disarankan Timbalan Beliau nanti juga diamanahkan menjaga portfolio Kementerian Kemajuan Luar Bandar ,namun nama Kementerian disaran ditukar kepada Kementerian Kemajuan Komuniti. Jangan ada lagi segmentasi 'bandar' dan 'luar bandar'. Barulah namanya inovasi bernilai tinggi.

Pendidikan, latihan sumber manusia, ekonomi berprestasi tinggi, kembalinya Malaysia dalam menjuarai isu-isu antarabangsa, pasti akan menjadi antara pencapaian dan langkahan pendekar Bugis yang tersohor ini. Apa yang penting dokongan rakyat, sokongan masyarakat seluruhnya tanpa mengira ideologi, bangsa mahupun agama. Jangan dipertikai, diperlekeh rezeki Najib yang pada hari Jumaaat yang mulia diangkat Allah sebagai khalifah di bumi Malaysia. Berpakatlah sesama kita, mari menuju kehadapan, masih banyak cabaran, gugatan dari dalam mahupun luar yang sentiasa mengintai peluang untuk menggoyah kredibiliti Najib. Kepada yang masih mengidam untuk menjadi Perdana Menteri, terimalah kenyataan, bahawa di Loh Mahfuz telah tertulis bahawa teori RAHMAN kini dilengkapi sudah. Istigfar banyak-banyak, redha dengan ketentuan Allah, insya-Allah kita akan menjadi manusia yang lebih tenang dan tinggi sifat keinsanannya.

Dari Pekan ke Kota Bharu
Singgah berehat memancing ikan
Terzahir sudah PM yang baru
Kini tugas menanti di depan..

Selamat bertugas YAB Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ke-6

No comments:

Post a Comment