Wednesday, May 20, 2009

ANWARISME DAN BUDAYA POLITIK HARU BIRU

Bermula 8 Mac 2008, apabila Anwar Ibrahim mengemukakan tema baru kempen politiknya 'HARAPAN BARU UNTUK MALAYSIA' tampak jelas, anasir liberalisme melampau yang tidak mengambilkira asas sejarah terbinanya negara ini, makin menjadikan komuniti politik negara ini menuju ke arah kancah haru biru. Apa tidaknya yang diusulkan, yang diketengahkan beliau banyak bercanggah dengan peruntukkan sosial kontrak yang selama ini diperakui melalui Perlembagaan Negara sebagai teras yang memungkinkan sentimen perkauman, sentimen primordial dan ketegangan antara kaum dapat dikurangkan.




Lalu secara bertubi-tubi, politik haru biru, dengan produk DEB sendiri beliau pertikaikan, toleransi melampau ke atas tuntutan kaum yang melewati batas sensitiviti masyarakat Bumiputera dominan selain usaha gerakan politik jalanan menjadi semacam rencah atau gerakerja yang kian diperhebatkan. Lantas HINDRAF disokong, modus operandi DAP dalam mempertikai apa jua, hak Bumiputera didokong demi kuasa, dalam situasi dimana, usaha hubungan awam dikordinasikan dengan pelbagai parti sama ada terasnya Islam, atau liberal,maka Anwar dengan dakyah dan karisma yang memukau hasil sikap autanya mampu mempertemukan semua pihak yang pada asasnya berlainan ideologi dan matlamat perjuangan ini untuk bersatu demi menumbangkan BN.Bertarung secara perdebatan tentang dasar dan halatuju tiada masalah, namun melibatkan massa, dengan satu gerakan yang penghujungnya
belum tentu kesudahannya selain disuntik dengan elemen revolusioner dan kedaulatan rakyat yang boleh menjelmakan tindakan mobokrasi dan situasi anarki adalah satu ancaman besar kepada tamadun negara bangsa yang penduduknya adalah berbilang kaum.


Di mana isu agama, budaya, faham perkauman, adalah 'bom jangka' yang boleh meletup pada bila-bila masa, jika kaedah pengurusan hubungan etniknya tidak diartikulasikan dalam satu bentuk dasar dan suasana yang maoan lagi mantap.Keterbukaan Anwar, membuka ruang terlalu luas, sehingga semuanya boleh didebat, dituntut dipertikaikan atas nilai universalisme dan liberalisme melampau.


Kebebasan mengikut ajaran dan fahaman Anwar dan apa yang diperjuangkannya gagal memahami latar sejarah dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap warganya. Apa yang lebih dikesali Anwar beserta paradigma pemikiran yang diindoktrin di kalangan pengikutnya yang taksub, melihat sesuatu perkara hanya berasaskan kepentingan kendiri dan politik kelompok mereka semata-mata.


Sebagai contoh dalam kes penghakiman di mahkamah, jika mahkamah menyebelahinya maka akan dikatakan sistem perundangan telah mengalami reformasi dan para hakimnya kian berani menegakkan keadilan. Akan tetapi jika keputusan tidak memihak kepada pihaknya maka akan dikatakan dan dilabel bahawa pemerintah dan kerajaan telah berlaku zalim dan sama sekali tidak adil dengan mencampuri urusan badan kehakiman. Malangnya strategi licik ini dan yang seringkali digunakannya berulang kali memukau sebahagian besar rakyat hatta dari kalangan profesional yang dikatakan kritis dan matang pemikiran mereka.


Di kalangan masyarakat luar bandar pula, elemen sosialisme, imej yang ditonjolkan sebagai pembela rakyat marhein, dipromosikan secara besar-besaran,apatah lagi kebolehan beliau, menukilkan ayat al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w dianggap sebagai satu aset besar, yang akhirnya menjadikan ruang lingkup pemikiran masyarakat desa terus dibelenggu dengan ajaran baru bawaan Anwar Ibrahim.Apa yang lebih menghairankan ulama-ulama tetentu juga seakan terpukau dan terpengaruh dengan nilai KeIslaman yang ditonjolkan oleh Anwar, walhal ISLAM bukan soal nampak dipermukaan semata-mata, namun merangkumi semua aspek dan holistik sifatnya.


Hakikatnya strategi beliau harus diakui menjadi, Kedah, Perak,Pulau Pinang, Selangor dan majoriti kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan mampu diungguli oleh pakatan Rakyat. Semenjak dari kemenangan yang disebut TSUNAMI politiik dalam PRU ke-12, Anwar bersama pemain utama yang berkiblatkan arah perjuangannya, baik yang dididik di dalam PAS, mahupun DAP, merencana strategi yang jauh lebih radikal. Toleransi antara PAS dan DAP YANG DAHULUNYA IBARAT KUCING DAN ANJING kini didinginkan kerana ramainya penganut Islam liberal yang juga proksi Anwar memegang jawatan utama dalam PAS.


PKR pula tidak punyai banyak masalah, kerana meskipun Anwar hanya menjadi Penasihat Umum, tapi kuasa pemutus semuanya ditangan beliau.Maka dalam konteks inilah, atas hasrat yang satu, mahu berkuasa sebagai PM, satu jawatan yang beliau terlepas semenjak 1997, sehinggalah kemudiannya merengkok di penjara akibat kesakahan diri sendiri, maka digerakkan politik bentuk baru. Dakyah, propaganda melampau, kacau bilau politik semuanya disimpul rapi, sebagai satu refernedum bagi mengajak penyertaan rakyat dalam aksi politik beliau.


Pak Lah cuba dicabar melalui usaha mengumumkan kerajaan baru pada 16 September, namun taktik licik dan auta Anwar tidak direstui Allah s.w.t. Malah propaganda bahawa lebih 30 ahli Parlimen Bn khususya dari Sabah dan Sarawak bakal menyertai pakatan rakyat hanyalah satu metapora yang dinukilkan sebagai satu unsur 'gempar' semata-mata.


Tidak berjaya dengan kaedah itu,maka PRK(PILIHANRAYA kECIL) sama ada dengan secara senagaja ataupun atas tuntutan perlembagaan dijadikan platform bagi beliau untuk sekali lagi melaksanakan misinya menjadi orang nombor satu diMALAYSIA. Setelah Pak LAH GAGAL dilunakkan, sasaran beliau kini adalah PM ke- 6 Najib Tun Razak. Kemenangan demi kemenangan yang digapai pakatan rakyat dalam PRK Permatang Pauh, Kuala Trengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan yang terbaru pengumuman BN bahawa calonnya tidak akan bertanding di DUN Penanti pada 31 Mei ini.


Sekali lagi akan menjadi sandaran bagi Anwar untuk berceramah diseluruh pelusuk negara, menerusi ayat-ayat autanya, bahasa badan dan intonasi suaranya, seolah-olah kerajaan BN kini dayus dan bacul. Tidak menghairankan beliau akan mendabik dada, bahawa kekalahan BN dalam PRK sebelumnya adalah satu isyarat jelas lagi kukuh, bahawa seluruh rakyat bakal menolak BN dalam PRU ke-13 nanti. Dalam konteks ini jugalah, imej dan integriti Najib Tun Razak berkaitan isu Altantuya akan terus digunakan Anwar, untuk mempengaruhi rakyat biasa dan memburukkan nama negara di jaringan antarabangsa, bagi menjustifikasikan bahawa
betapa tidak layaknya Najib menjadi pemimpin utama di Malaysia.


Bagi Anwar, orang lain semuanya tidak ada yang elok, dan penuh dengan cacat cela,walhal, beliau sendiri masih dibelenggu dengan imej dan wibawa beliau yang penuh kesangsian. Isu pertuduhan liwat beliau yang dikaitkan dengan Saiful Bukhari Azlan bekas pembantunya sendiri belum lagi tuntas. Retorik dan janji palsu beliau kepada Menteri Luar Dato Aniffah Aman, dimana jawatan TPM tersedia, sekiranya Dato aniffah Aman melompat menyertai Pakatan Pembangkang juga kian meresahkan Anwar. Isunya Anwar adalah manusia, yang suka berjanji perkara yang sama kepada orang yang berlainan dan ditempat yang berlainan. Isunya juga tokoh seperti Anwar akan bercakap perkara yang suka didengar oleh pendengar bukannya
perkara yang mampu beliau laksanakan secara sepenuh dan setulus hati.


Tambahan kepada propaganda itu, beliau pasti akan melabelkan NAJIB sebagai pemimpin yang lemah, tunduk pada desakan, dan kian longgar penguasaannya. Dihadapan pengundi Melayu Anwar akan berbicara tentang betapa UMNO kini tidak lagi pro Melayu dengan slogan 1Malaysianya, sedangkan dihadapan pengundi bukan Melayu ANWAR dengan lantang lagi bersemangat akan melontarkan pidato hebatnya dengan sekuat-kuatnya tentang betapa pro-nya UMNO dalam membantu Melayu dan Bumiputera melalui DEB dan pelbagai lagi dasar yang dicapnya sebagai meletakkan kaum bukan Melayu sebagai warga kelas ke-2. Hakikatnya Politik Anwarisme ini bakal menjadikan negara terus terumbang ambing dan tidak mustahil menjurus kepada anarki melampau, yang akhirnya mampu melenyapkan nikmat aman, harmoni dan kestabilan serta kemakmuran ekonomi yang kita kecapi selama ini,.


Dalam konteks ini juga penulis tidak hairan jika lontaran pandangan penulis ini akhirnya akan dijadikan wahana oleh Anwar melalui peguamnya yang hebat untuk menyaman penulis, kerana tabiee Anwar, semua apa yang diungkapkan oleh orang lain adalah fitnah dan sama sekali tidak betul, serta bertujuan berkonspirasi untuk memburuk dan menjatuhkannya. Sedangkan apa yang beliau ucapkan adalah benar belaka, meskipun hakikatnya tidak lebih dari dongengan yang bermaksud menghiburkan hati rakyat semata-mata.


Namun realitinya bukan mudah untuk dilaksana dan dijayakan.Ironinya, seluruh rakyat perlu menilai dan menolak dengan pemikiran yang matang, rasional dan penuh keinsafan diri akan politik Anwarisme ini demi memastikan negara bangsa Malaysia tercinta ini terus selamat dalam arus cabaran dan pancaroba kemelut ekonomi dan politik semasa yang kian bercelaru dan tidak menentu gara-gara tingkahlaku insan bernama ANWAR IBRAHIM.